Petang ini saya menyapu di seluruh kawasan. Banyak sampah berupa kulit kacang, kulit limau dan kotak minuman. Malahan kotak limau dan botol minuman pun ada maklumlah dalam suasana tahun baru cina.
Saya kutip beberapa beg sampah yang dicampak ke kawasan semak bersebelahan unit no 12 blok B dan membawanya ke bahagian belakang dimana tempat untuk membuang sampah dan membakarnya. Pihak majlis perbandaran telah lama tidak mengangkut sampah. Beberapa penduduk secara sukarela telah membakar sampah-sampah yang terkumpul untuk mengelakkan bau busuk dan sampah bertaburan.
Pagi tadi sebuah lori dan jentera JCB kemungkinan milik majlis perbandaran datang, saya fikir mereka mahu menyodok sampah sarap dan membawanya ke loji pembuangan sampah, tetapi apa yang saya fikirkan terjadi sebaliknya.
Lori tersebut menuang sampah berupa daun-daun kering mungkin dari kawasan pembinaan dan jentera JCB itu menyodoknya. Mungkinkah di sini akan jadi tapak pelupusan sampah haram, sedangkan jarak tempat sampah dengan rumah terdekat tidak sampai 50 meter.
Hari ini ketika menjalankan tugas seperti biasa, saya temui hal-hal seperti gambar di bawah.
Sebuah tong sampah yang diletakkan di sebelah tangga 3 blok B, penuh berisi lampin pakai buang. Saya percaya ianya milik penghuni B-2-09. Perhatikan saja sampai bila ianya akan terus di sini. Sebelum ini saya juga pernah temui sebuah besen yang penuh dengan sampah di letakkan di situ. Lebih sebulan dibiarkan dan akhirnya saya buang sekali dengan besennya sekali. Adakah kali ini saya juga terpaksa membuang sampah ini dengan tong sampahnya sekali jika dibiarkan begitu lama sehingga membusuk. Kasihan kepada penghuni unit B-1-11, buka pintu saja tentu terpandang dan terbau!
Ini pula sampah kulit kacang dan puntung rokok yang dicampak dari tingkat 1, di hadapan rumah pemilik tong sampah. Setelah saya siap menyapu, penghuni rumah itu turun dan melekatkan sesuatu ke keretanya yang berwarna biru itu dan meninggalkan sampah dari double tape yang digunakan begitu saja dan berlalu pergi. Tidak terfikirkah dia?....
Ini pula tangga 2 blok B, hairan jugak mengapa selalu sangat ada sampah disini. Kekadang tu ada paket kosong kopi segera. Bungkusan makanan segera pun selalu jumpa, tisu yang telah digunakan dan puntung rokok. Tugas saya membersihkannya, tapi mengapa ramai penghuni suka membuang sampah merata-rata. Tiada sivikkah mereka?
Petang ini saya membersihkan kawasan dalam dan luar pagar sekitar pam air. Mencabut rumput yang semakin membesar setelah disirami hujan.
Hari ini satu kebakaran kecil telah berlaku di kawasan penjuru hadapan unit B-1-12. Kebakaran ini berpunca dari upacara pembakaran kerana ada kematian seorang kaum tionghua yang tinggal di taman berhadapan dengan blok B.
Sebuah jentera bomba telah dipanggil kira-kira jam 1.30 tengahari. Menurut seorang penduduk, asap tebal menyelubungi sebahagian dari blok B. Dua gambar di atas diambil kira-kira 1 jam setelah kerja memadam api oleh anggota bomba.
Pada petang ini sekitar jam 5.30 petang, salah seorang anak kepada penghuni A-3-01 telah mencampakkan sekitar 8 bungkusan makanan ringan dari tingkat tiga. Penghuni A-2-01 telah menyaksikan kejadian tersebut dan memaklumkan kepada saya. Ketika itu saya sedang minum petang.
Saya segera keluar untuk mengambil gambar. Oleh kerana angin kuat pada masa itu, sebahagian bungkusan makanan ringan itu telah diterbangkan oleh angin, maka hanya sebahagian saja yang dapat diambil gambar.
Kejadian begini sepatutnya tidak berlaku seandainya setiap penghuni mengamalkan sikap bertanggungjawab terhadap kebersihan sekitar kawasan kediaman mereka.
Dah dua hari saya tidak melakukan kerja-kerja pembersihan kerana hujan. Hari ini saya membersihkan semua tangga, kaki lima dan membersihkan sawang di kedua-dua blok. Mohd Noh penyewa unit B-4-01 telah berpindah dan meninggalkan sampah dihadapan unit B-4-03 yang telah lama tidak berpenghuni. Mengapa begini???
Pagi ini jam 9.00 saya mula menyapu bermula dengan kawasan keseluruhan tempat letak kereta, kemudian tangga blok A, diikuti dengan tangga 1, tangga 2 dan tangga 3 blok B.
Petangnya jam 4.15 saya mula membaca meter air bermula dari tingkat 1, 2, 3 dan 4 blok A kemudian berpindah ke tangga 1 blok B utuk membaca meter air dari unit no 1 hingga 3 blok B dari tingkat 1 hingga 4.
Kemudian beralih ke tingkat 1 no 4 hingga 12, tingkat 2 no 4 hingga 12, tingkat 3 no 4 hingga 12 dan tingkat 4 no 4 hingga 12. Selesai....
Malamnya saya baru key in data dalam komputer. Pagi esok dah nak hantar ke pejabat pengurusan. Harap-garap cek gaji bulan ini dah sedia....
Hari ini kerja-kerja membersihkan longkang dijalankan. Segala sampah sarap dan pasir-pasir dikeluarkan. di bawah ini adalah gambar longkang yang telah dibersihkan.
Gambar 1
Gambar 2
Gambar 3
Satu kes kenakalan telah berlaku, kusyen sebuah motorsikal telah dibelah dengan menggunakan pisau. Tidak dapat dikesan siapa yang melakukannya.